Singa Ditinggalkan ‘Kebuluran’ Hingga Terpaksa Makan Ekor Sendiri, Pihak Berkuasa Buru Pemilik Zoo

MEXICO – Pihak berkuasa di Mexico sedang menjalankan siasatan ke atas sebuah pusat perlindungan haiwan yang didakwa telah menganiaya binatang yang berada di situ, lapor Daily Star.

Siasatan itu dijalankan selepas seekor singa ditemui berada dalam keadaan kurus kering dan kelaparan sehingga terpaksa memakan ekornya sendiri.

Rakaman menyayat hati yang dikongsikan oleh badan amal Black Jaguar-White Tiger Foundation, yang berpangkalan di Tlalpan, Mexico City itu telah menimbulkan kemarahan dalam kalangan pencinta haiwan di seluruh dunia.

Rakaman tersebut memaparkan keadaan haiwan yang sangat menyedihkan sehingga ada yang didapati memakan ekor mereka sendiri kerana kelaparan.



Pemilik Zoo tersebut dilaporkan telah melarikan diri setelah berita mengenai keadaan tempat itu tersebar luas.

Kumpulan hak asasi haiwan telah melaporkan berkenaan pusat perlindungan itu di mana pada awalnya pemilik mendakwa tempat itu ditubuhkan untuk menyelamatkan haiwan daripada menjadi tidak terurus dan mengelakkan mereka menjadi haiwan di sarkas.

Dakwaan kepada pemilik zoo berkenaan diserahkan kepada Peguam Persekutuan Perlindungan Alam Sekitar di Mexico, dengan salah satu daripada dakwaan itu menuduh pemilik berkenaan telah “mengabai dan menganiaya ratusan haiwan.”



Arturo Islas Allende, seorang aktivis haiwan memberitahu tempat perlindungan itu kini berada di bawah pemantauan pihak berkuasa dan pemiliknya juga sudah menjadi seorang pelarian yang dikehendaki oleh pihak berkuasa untuk ditangkap.

Beliau turut memberitahu tempat perlindungan itu juga tidak mempunyai dokumen mahupun permit yang sah bagi mewujudkan tempat perlindungan kepada haiwan-haiwan tersebut.

Pihak polis yang menjalankan siasatan turut melaporkan menjumpai pelbagai tulang, dipercayai milik haiwan-haiwan yang telah mati akibat kebuluran. Tulang-tulang itu juga dilaporkan milik lebih 200 ekor harimau serta singa.

“Yayasan perlindungan itu berkata bahawa mereka mempunyai 400 ekor haiwan. Namun berdasarkan kiraan oleh pihak berkuasa, hanya terdapat 180 hingga 190 ekor sahaja yang telah ditemui. Ini bermaksud, hanya kurang separuh daripada haiwan-haiwan itu masih hidup,” kata Allende lagi.
LihatTutupKomentar